Sofea Adrea membuka mata sebaik sahaja azan subuh kedengaran. Perlahan kedua belah tangan meraup muka sambil mengucap syukur kepada Allah. Sempat matanya menoleh kesebelah, kosong! Sofea Adrea hanya mampu menarik nafas, senyuman tawar terukir pada bibir. Kedua belah tangan diangkat lalu dipandang lama. Sepuluh jari tangannya merah berinai. Semalam, dia sudah selamat dinikahkan dengan lelaki yang amat dicintainya. Pertemuan mereka 2 tahun lepas telah membawa mereka ke jinjang pelamin. Siapa sangka, setelah beberapa bulan berkenalan, rupa-rupanya keluarga mereka memang kenal rapat. Adakah ini yang dipanggil jodoh? entahlah, Sofea Adrea percaya dengan ketentuanNya.
Kaki memijak lantai, sejuk. Manakan tidak, dari malam semalam dia tidur dengan air-cond terpasang. Sofea Adrea tidak terus melangkah ke bilik air, malah melangkah keluar dari bilik tidurnya. Langkah kaki membawanya ke bilik bacaan suaminya, dekat bahagian paling hujung. Perlahan pintu bilik diketuk, namun tiada balasan. Dengan berhati-hati tombol pintu dipulas, terus kepalanya menjenguk untuk melihat kelibat si suami. Senyuman nipis terukir bila matanya terpandangkan suaminya sudah lena terbaring dekat sofa. Lampu meja masih terpasang, jadi terus dia tutupkan. Untuk seketika, Sofea Adrea menatap wajah suaminya penuh kasih. Buat masa ini, dia tak tahu nak menzahirkan ekspresi yang bagaimana. Jujur dia katakan, dia agak terasa dengan sikap suaminya yang lebih mementingkan kerja pada malam pertama perkahwinan mereka. Tapi apakan daya, mungkin ada hal yang lebih penting yang harus diselesaikan dulu.
“Bang, bangun dah subuh ni,” perlahan tangannya menepuk bahu si suami. Tubuh dihadapannya ini sudah bergerak sedikit, namun tak ada tanda-tanda dia nak bangun. Sofea Adrea tersenyum sendiri.
“Bang, dah subuh ni,” sekali lagi dia bersuara agak kuat. Masa ni barulah si suami dapat menangkap lalu membuka mata. Terkebil-kebil matanya melihat wajah Sofea Adrea, isteri yang baru dinikahinya.
“Hmm...dah pukul berapa ni?” tanyanya dengan suara serak. Matanya kecik besar mencari dimana letaknya jam. Badan terus bangun dari pembaringan, lalu duduk bersandar sambil meraup muka. Kelakuannya itu hanya diperhatikan oleh Sofea Adrea.
“Dah pukul 6. Tidur lambat ke?” tanya Sofea Adrea prihatin. Melihat mata suaminya sedikit merah, pastinya dia baru sahaja melelapkan mata.
Syed Adriuz hanya meraup muka sekali lagi sambil menarik nafas dalam. Pertanyaan isterinya itu hanya dibiarkan sepi. Sekarang ni kepalanya sedang berdenyut, apa-apapun tak dapat nak access. Sofea Adrea tersenyum nipis, dia tahu suaminya masih separuh sedar barangkali.
“Adrea masuk bilik dululah ya. Abang jangan sambung tidur pula tau,” sempat lagi dia berpesan. Lembut sahaja dipendengaran Syed Adriuz. Baru kakinya selangkah menjauhi Syed Adriuz, tangannya dipegang seseorang, menghalangnya untuk terus melangkah.
Cincin yang tersarung pada jari manisnya dipegang seseorang. Dalam sekelip mata tangannya digenggam Syed Adriuz. Sofea Adrea hanya menarik nafas menahan tangis. Nasib baik dia membelakangi suaminya, jadi tak nampak matanya sudah mulai merah.
“I’m sorry. Maafkan abang?” lembut suara Syed Adriuz menyapa gegendang telinga Sofea Adrea. Sofea Adrea mula terasa sebak, tapi tetap ditahan. Dengan senyuman paling manis dia menoleh memandang suaminya penuh kasih. Kedua belah tangan suaminya digenggam erat, lalu dia menggeleng.
“It’s ok. Abang nak breakfast apa pagi ni? nanti Adrea masak,” senyuman masih terukir pada bibirnya. Syed Adriuz tetap memandang wajah isterinya dengan muka tak bereaksi, malu juga Sofea Adrea dibuatnya bila dipandang macam tu.
“Hmm... apa-apapun boleh. Tapi Rea tak payahlah nak susah-susah, pembantu rumah kan ada,”beritahu Syed Adriuz. Sempat lagi dia menarik tangan Sofea Adrea untuk duduk disebelahnya. Sofea Adrea hanya menurut, tangan masih dalam genggaman suaminya.
“Abang, pembantu rumah tu tugasnya untuk membantu, bukannya mengurus. Kan dah memang tanggungjawab Adrea untuk jaga makan pakai abang, jadi tak ada susahnya,” ucap Sofea Adrea lembut dan berhemah. Syed Adriuz mengangkat kening seperti tidak percaya dengan kata-kata isterinya itu. Hmm, not bad.
“Kenapa abang buat muka pelik pula ni? salah ke apa Adrea cakap?” sengaja Sofea Adrea buat-buat marah. Tangannya sudah ditarik dari terus digenggam. Tak payah nak menipu lagi lah sebab memang terang-terang Syed Adriuz buat muka pelik tadi.
“What?! Abang tak buat apa-apa pun,” Syed Adriuz pura-pura terkejut dengan pertanyaan yang diutarakan isterinya itu. Nak tergelak pun ada bila lihat Sofea Adrea dah mula marah, comel je mukanya masa ni.
“Yalah tu. Malas lah nak layan abang pagi-pagi buta ni, baik Adrea pergi mandi, lagi best,”ucapnya geram. Mana tidaknya, nampak sangat Syed Adriuz sedang menahan ketawa sekarang ni. Geram betul, suka sangat menyakat.
“Abang ikut?” pintanya manja. Ala-ala seperti budak kecil merengek nak didukung saja lagaknya. Sofea Adrea mengetap bibir, melihat wajah ngada-ngada Syed Adriuz itu terus sahaja membuatkan hatinya tak jadi nak marah. Tanpa sedar, dia hanya mampu tersenyum. Syed Adriuz sudah tersenyum nakal, tangan isterinya kembali diraih. Kononnya nak jalan berpegangan tangan sampai ke bilik.
Baru sahaja melangkah, telefon bimbit di atas meja berbunyi lantang minta diangkat. Masing-masing memberhentikan langkah, memandang tempat yang sama. Belum sempat Sofea Adrea nak buka mulut, tangan suaminya sudah terlerai dan semakin jauh. Syed Adriuz terus mencapai telefon bimbitnya. Sofea Adrea tak kata apa-apa, terus sahaja berlalu dan menutup pintu bilik bacaan suaminya itu.
==============
“Morning Adrea,” sapa Suzi sebaik sahaja punggungnya mencecah kerusi disebelah isteri sepupunya itu. Sofea Adrea menoleh sekilas dengan senyuman nipis. Dalam hati terdetik rasa pelik juga. Tak pernah-pernah Suzi ni bermanis muka dengannya sejak mereka berkenalan. Ini apa kes pula, siap boleh duduk sebelah lagi.
“Hmm... Adriuz mana?” Suzi sudah memandang sekeliling ruang, mencari kelibat sepupunya itu. Bila tak jumpa, wajah Sofea Adrea dipandang minta jawapan.
“Ada dekat bilik, tengah bersiap,” beritahu Sofea Adrea tanpa memandang wajah Suzi yang ternyata sudah memandangnya pelik. Untuk seketika, bibir Suzi yang sudah bergincu merah menyala itu tersenyum sinis.
“Bersiap? bersiap nak pergi mana?” sengaja soalan itu diutarakan dengan suara ala-ala excited gitu. Padahal memang dia sudah dapat mengagak kemana Syed Adriuz akan pergi kalau pagi-pagi macam ni. Sofea Adrea hanya memaniskan muka dengan pertanyaan itu. Tengok saja muka Suzi ni, nampak sangat tengah pura-pura.
“Tadi orang office call, ada hal sikit dekat sana,” jawabnya pendek. Rasanya tak perlulah nak menerangkan situasi yang panjang lebar. Sofea Adrea sekali lagi menangkap senyuman di bibir Suzi, tapi dia tak faham dengan makna senyuman itu.
“How sad. Baru first day kahwin dah nak pergi office. I tak faham betullah dengan Adriuz ni. I ingat bila dah kahwin ni dah berubahlah, rupa-rupanya sama saja. Betul-betul membosankan,”ujar Suzi selamba sambil menyapu jem pada roti bakar yang dipegangnya. Sofea Adrea disebelahnya sudah tak sedap hati, apa maksud kata-kata Suzi ni?
Suzi menoleh kesebelah bila dirasakan wajah Sofea Adrea sudah berubah. Perlahan dia mengeluh. Roti bakar yang baru nak disuakan ke mulut diletak kembali.
“You are really still do not know him, right?”
Sofea Adrea menelan liur. Apa maksud Suzi?
“What do you mean?”tanya Sofea Adrea dengan perasaan yang dah bercampur baur. Jantungnya sedang berdegup kencang ketika ini. Baru sahaja Suzi ingin membuka mulut kelibat Syed Adriuz sudah kelihatan sedang menuruni tangga. Mata kedua-keduanya sudah teralih pada tubuh yang sudah segak dengan kemeja ungu pekat itu. Suzi hanya mendiamkan diri lalu meneruskan sarapannya. Sofea Adrea hanya memandang Suzi sekilas. Nampak gayanya, Suzi tak akan membuka mulut.
“Morning lady,”ujar Syed Adriuz dengan senyuman dibibir. Wajah isteri dan sepupunya dipandang dengan senyuman penuh makna. Melihat senyuman itu, Suzi dapat mengagak apa yang ingin dikatakan oleh Syed Adriuz.
“Dia dah jadi family I juga. Jadi tak salah kalau kami berbaik kan?” Suzi memandang Sofea Adrea minta respon. Sofea Adrea yang seperti baru tersedar hanya menganggukkan kepala. Barulah senyuman dihulurkan buat suami tercinta. Tangan Syed Adriuz memegang lembut pipi isterinya, satu ciuman dihadiahkan dekat ubun-ubun Sofea Adrea.
Suzi dan Sofea Adrea saling berpandangan. Masing-masing hanya mendiamkan diri sebab Syed Adriuz ada ketika itu.
“Adriuz, you ni memang melampau lah. Baru first day, you dah tinggalkan Adrea dekat rumah,” Suzi membuka bicara. Sofea Adrea sudah memandang Suzi dan Syed Adriuz silih berganti. Selamba cekadak betul si Suzi ni cakap macam tu. Syed Adriuz hanya tersenyum nipis. Wajah isterinya dipandang lama.
“She’s understand me. Right honey?” Syed Adriuz tersenyum manis. Sofea Adrea tak tahu nak jawab apa. Betulkah dia memahami situasi ini? entahlah, hanya senyuman yang mampu dihulurkan.
“Nanti lunch abang balik makan ke?” tanya Sofea Adrea lembut sambil memakaikan tie dileher suaminya. Sofea Adrea terpaksa mendongak sedikit untuk memandang suaminya. Yalah, orang tinggi lampai, nak buat macamana kan..
“Hmm...entahlah. Abang pun tak pasti lagi. Nanti apa-apa abang call,” beritahunya lembut. Sofea Adrea hanya mengangguk perlahan.
“Hmm...abang, Adrea tanya sesuatu boleh?” perlahan sahaja Sofea Adrea bertanya. Syed Adriuz memandang isterinya. Mata keduanya perpaut, laju sahaja Sofea Adrea melarikan pandangannya.
“Ada apa? “ Syed Adriuz bersuara. Entah kenapa, dirasakan isterinya itu seperti sedang merisaukan sesuatu. Tapi entahlah apa dia, tak dapat nak meneka.
“Adrea...”
Bunyi telefon di atas katil berbunyi minta diangkat, mematikan kata-kata Sofea Adrea. Syed Adriuz terus memandang ke arah telefonnya, kemudian wajah Sofea Adrea. Sofea Adrea hanya mengangguk memberi isyarat untuk suaminya menjawab panggilan itu. Tangannya diangkat dari dada bidang suaminya. Perlahan langkah kakinya diatur ke meja solek.
Dia duduk memandang cermin besar dihadapannya. Dari dalam cermin, Sofea Adrea mencuri pandang ke arah Syed Adriuz yang sedang serius membicarakan sesuatu dengan si pemanggil. Sofea Adrea lantas menyikat rambut yang dibiarkan lepas, sesekali dia termenung sendiri.
‘Apa maksud Suzi tadi?’ hatinya bertanya sendiri. Betulkah dia belum benar-benar mengenali Syed Adriuz? adakah tempoh perkenalan mereka selama 2 tahun ini masih belum cukup untuk mereka mengenali antara satu sama lain?
“Abang pergi dulu ya,” Syed Adriuz bersuara, terus mematikan lamunan Sofea Adrea. Tangan Syed Adriuz dicium, lantas Syed Adriuz mencium dahi isterinya. Sofea Adrea hanya diam memerhati langkah suaminya menghilang di sebalik pintu.
============
Suzi melangkah ke arah Sofea Adrea yang sedang duduk seorang diri di taman mini buatan Puan Habibah, ibu kepada Sofea Adrea. Untuk seketika, Suzi hanya tersenyum sendiri. Inikah hidup yang dia inginkan? berkahwin dengan lelaki seperti Syed Adriuz?
“Termenung je,” sapa Suzi sambil melabuhkan punggung dihadapan Sofea Adrea. Tersentak Sofea Adrea, namun dia tersenyum saja.
“Tak keluar ke?” tanya Sofea Adrea. Teringat pula yang Suzi ni memang suka keluar shooping kalau waktu cuti, sebab tu macam pelik semacam kalau dia ada terperuk dekat rumah.
“Kejap lagi. Tapi bosan juga keluar shooping sorang-sorang ni. Apakata you ikut I nak? duduk rumah pun bukan nak buat apa kan?”ajak Suzi lembut. Matanya sempat lagi memandang sekeliling. Angin pagi ni memang dingin, macam nak hujan saja.
Sofea Adrea tersenyum saja mendengar perlawaan Suzi itu. Memang perangai Suzi ni dah lain daripada Suzi yang dulu. Siap nak ajak keluar sama. Mungkin memang betul, sekarangkan mereka dah jadi satu keluarga. Gaduh-gaduh pun bukannya ada faedah pun kan.
“Sure. Hmm... Amy mana? belum bangun tidur ke?” sofea Adrea memandang ke dalam rumah. Memang dari tadi lagi dia tak nampak kelibat adik iparnya itu.
“Tidur lagi. Biasalah tu, dah tengahari nanti dia bangunlah,” beritahu Suzi perlahan.
Untuk seketika mereka masing-masing hanya mendiamkan diri. Dalam hati Sofea Adrea sudah meronta-ronta supaya perbualan mereka awal pagi tadi dapat diteruskan.
“Suzi, boleh Adrea tanya sesuatu?” tanyanya lembut. Suzi hanya menoleh sekilas dan mengangguk.
“Apa maksud Suzi yang Adrea masih belum kenal abang sebenarnya?” Sofea Adrea sudah bersuara. Suzi hanya tersenyum sendiri, dia sudah mengagak soalan itu yang akan ditanyakan kepadanya.
“Macam yang I pernah cakap dulu, buat keputusan untuk berkahwin dengan Adriuz adalah bukan satu keputusan yang tepat. You mesti ingat yang I ni cuba pisahkan korang berdua, tapi I cuma fikirkan tentang kebahagian you Adrea. Kita sama-sama perempuan, I tahu macamana perasaannya bila suami kita hanya pentingkan benda lain dari diri kita sendiri. You tahukan yang I pernah berkahwin dan bercerai?” tegas dan lancar sahaja pertuturan Suzi.
Sofea Adrea hanya mendiamkan diri. Dia sudah tahu tentang sejarah hidup Suzi daripada adik ipar dan mak mentuanya. Ya, dia juga masih ingat yang Suzi pernah menghalangnya daripada terus berjumpa dengan Syed Adriuz, dia ingat semuanya.
“I tahu you baru kahwin, belum betul-betul kenal siapa sebenarnya Syed Adriuz. Tapi, you sendiri tentu boleh fahamkan dengan perangai dia sekarang? I pernah rasa ditinggalkan, I pernah rasa dikhianati. Semua ni bermula sebab dia hanya pentingkan kerja dia dari diri I. Akhirnya, dia pandai curang, dia sanggup tinggalkan I untuk orang yang kononya lebih memahami dia. I tak mahu you terima nasib yang sama dengan apa yang I lalui,” nada suara Suzi sudah berubah sayu.
Sofea Adrea memandang ke dalam anak mata Suzi. Ada rasa benci dan sayu yang tergambar dari mata wanita itu. Bila diri dikhianati oleh orang yang sangat dicintai, rasanya tak mungkin dapat dihilangkan biarpun sudah lama berlalu.
“Tapi abang bukan macam tu, Adrea yakin,” ujar Sofea Adrea tegas. Mendengar kata-kata Suzi itu membuatkan dia berfikir ada benarnya semua itu, tapi hatinya yakin dengan suaminya.
“Yakin? you jangan nak menipu diri you sendiri Adrea. I tahu you tahu yang perangai Adriuz tu sama sahaja dengan ex husband I. I sebagai sepupu dia tak mahu you terluka. I bukan nak jadi batu api dalam hubungan korang ni, I cuma nak ingatkan you. Better you ambil tindakan sebelum benda macam ni jadi lebih teruk,”
Sofea Adrea duduk termenung sendiri. Kata-kata Suzi tadi masih bermain-main dalam kotak fikirannya. Ya! Dia sedar sikap suaminya itu hanya mementingkan kerja. Tapi dia tak percaya yang suaminya itu akan berubah hanya disebabkan kerja. Dengan hati yang yakin, dia percaya yang dia akan merubah persepsi Suzi tentang lelaki seperti Syed Adriuz.
===========
“Ibu nak beli apa-apa ke?” tanya Sofea Adrea lembut sebaik sahaja dia mencium tangan Puan Habibah sebelum mencapai beg tangan. Puan Habibah hanya tersenyum nipis dan mengelengkan kepalanya.
“Rea pergilah, ibu tak ada apa nak beli pun. Lagipun kejap lagi ibu nak keluar dengan mama kamu, nak pergi jenguk kawan kami dekat hospital,” beritahu Puan habibah lembut. Sofea Adrea hanya mengangguk faham.
Mama Syed Adriuz tak tidur sini lepas majlis semalam, dia terus balik sebab Papa ada hal sikit. Disebabkan rumah Sofea Adrea dan Syed Adriuz bukanlah jauh sangat, setakat ambil masa tak sampai setengah jam untuk sampai, ibu dan mama selalu berjumpa. Amy dan Suzi tidur disini semalam, katanya malas nak balik lagi. Lagipun cuti masih ada sebelum masuk kerja nanti.
“Yalah. Apa-apa nanti ibu call Rea ya. Rea pergi dulu ya, assalamualaikum,” Sofea Adrea sudah berlalu masuk ke dalam kereta Swift kuning miliknya. Beberapa minit, kelihatan Suzi dan Amy terkocoh-kocoh memakai kasut tumit tinggi masing-masing. Puan Habibah yang melihat hanya tersenyum dan menggeleng.
“Auntie, kami pergi dulu ya,” Suzi mengangkat muka memandang Puan Habibah yang masih tersenyum. Amy juga turut sama tersenyum malu, tangan Puan Habibah turut sama disalami. Ini bukanlah kali pertama mereka bertemu, dah dekat 20 tahun juga. Ialah, mama dan Puan Habibah kan kawan lama.
“Hati-hati ya,” pesan puan Habibah lembut. Matanya menghantar anak-anak itu yang sudah berlalu ke dalam kereta Sofea Adrea.
==================
Sofea Adrea, Suzi dan Amy menapak masuk ke dalam Parkson. Visi hari ini adalah membeli-belah semperna hari perkahwinan Sofea Adrea. Masing-masing ralik melihat, sekejap ke sana, sekejap ke sini. Bila dah jumpa yang berkenan, tak tunggu lama lagi terus sahaja membayar. Sofea Adrea hanya mengikut, tak ada apa yang nak dibeli sebenarnya.
“Kak Rea tak nak beli apa-apa ke?” tanya Amy sebaik sahaja mereka berhenti sebentar di kerusi kosong di ruang tengah. Sofea Adrea hanya tersenyum dan menggeleng.
“Tak ada nak beli apalah Amy. Suzi mana? kejap je dah hilang,”matanya memerhati sekeliling. Amboi, baru sekejap dah hilang. Tak penat berjalan ke?
“Biasalah kak Suzi tu. Selagi tak tercabut kaki tu, selagi tu dia tak berhenti berjalan. Rasanya dia tengok perfume tadi, ada yang terbaru,”beritahu Amy perlahan. Amy terus bersandar, penat pula rasa badan ni. Yalah, dari tadi berjalan, mana tak penat.
Sofea Adrea turut sama menyandarkan tubuhnya. Matanya ralik memandang orang sekeliling, tak ramai sangat orang hari ini sebab bukannya hari cuti. Sedang dia sibuk memerhati, matanya terpandangkan sepasang pasangan yang baru menapak masuk. Tidak dipinta, hatinya terus dipaut rasa cemburu dan sedih. Terus matanya dialihkan ke arah lain. Sofea Adrea angkat muka memandang orang yang berada dihadapannya kini. Suzi juga turut sama memandang tempat yang sama, Syed Adriuz!
“Eh, abanglah. Kak Rea, tu abang,”beritahu Amy kuat. Tangan Sofea Adrea diraih, Sofea Adrea hanya memandang dengan senyuman tawar. Suzi dapat rasakan perubahan di wajah Sofea Adrea, jadi dia hanya mendiamkan diri.
Syed Adriuz memandang ke arah deretan kerusi bila dirasakan ada orang sedang melambai-lambai padanya. Lama dia memandang untuk memerhati. Barulah dia perasan bila terlihat isterinya ada bersama adiknya ketika itu. Langkah kaki diberhentikan, senyuman terukir dibibirnya.
“Kenapa ni?” tanya Juliana mematikan langkahnya sebab Syed Adriuz juga sudah berhenti. Matanya juga memandang ke arah yang sedang Syed Adriuz pandang.
“Hmm... I pergi sana kejap,” beritahu Syed Adriuz sambil berjalan menghampiri tiga orang yang dikenalinya itu. Sofea Adrea sudah tak senang duduk. Jantungnya mula berdegup kencang, Suzi disebelahnya dipandang sekilas. Suzi hanya mendiamkan diri, tak seperti nak berhujah apa-apa. Juliana turut sama membontoti Syed Adriuz yang sudah maju ke hadapan.
“Buat apa dekat sini?” tanya Syed Adriuz ceria. Wajah isterinya dipandang dengan senyuman manis. Sofea Adrea membalas dengan senyuman nipis.
“We all yang patut tanya soalan tu dekat you Adriuz,” selamba sahaja Suzi mencelah. Sofea Adrea angkat muka pandang Syed Adriuz dan Suzi silih berganti. Bila sahaja matanya terpandangkan wanita yang muncul dibelakang Syed Adriuz, dia tak tahu nak mengekspresikan muka yang macamana.
“Adriuz,” panggil Juliana sambil matanya memandang tiga orang wanita di hadapannya ini. Amy mengangkat kening, sempat lagi dia mencuri pandang ke arah abangnya.
Sofea Adrea memandang suaminya minta jawapan untuk kemunculan wanita misteri itu. Dapat ke Suzi, memang cakap lepas habis lah.
“Well, who is this Adriuz?” sinis sahaja pertanyaan Suzi itu. Wanita yang masih mendiamkan diri itu sudah mencebikkan bibir. Menyampah betul dengan lagak wanita itu.
“I perkenalkan ni wife I, Adrea. And ni my sister Amy and my cousin, Suzi,” Syed Adriuz akhirnya bersuara bila dirasakan ada bahang sahaja dalam pandangan semua orang. Juliana hanya menganggukkan kepala, sempat lagi matanya memandang tajam kea rah Sofea Adrea.
“Hai, nice to meet you,” Sofea Adrea cuba memaniskan muka. Tanganya dihulurkan, lambat-lambat sahaja Juliana menyambutnya.
“Adriuz secretary, Juliana,” Juliana memperkenalkan dirinya. Ternyata statement itu membuatkan Suzi dan Amy masing-masing mencebikkan bibir. Sofea Adrea yang perasan hanya menahan ketawa. Kelakar dengan aksi spontan Suzi dan Amy itu.
“Abang datang beli belah ke?” tanya Sofea Adrea terus supaya hatinya tak bermain teka teki. Syed Adriuz hanya ketawa sendiri, kemudiannya menggeleng.
“Bukanlah sayang, abang ada kerja sikit. Banyak ke beli barang ni?” selamba sahaja Syed Adriuz memanggilnya sayang. Sofea Adrea tersenyum lega, sempat lagi dia mencuri pandang ke arah Juliana yang sudah memeluk tubuh. Jujur dia katakan, dia dapat rasa sesuatu dari pandangan Juliana itu terhadap suaminya.
“Kak Rea tak beli apapun, dia temankan kitaorang je. Ni kak Suzi ni yang shooping sakan,” beritahu Amy dalam tawanya. Suzi hanya tersenyum malu, dah memang kebenarannya.
“Adriuz, we need to go now,” celah Juliana setelah hanya menjadi pemerhati dari tadi. Syed Adriuz hanya menganggukkan kepala.
“Ok, abang pergi dulu. Nanti lunch kalau tak sibuk abang balik ya,” sempat lagi Syed Adriuz mendapatkan tangan isterinya. Sofea Adrea hanya mengangguk perlahan.
Mereka bertiga hanya memerhati langkah Syed Adriuz dan Juliana berlalu. Amy terus mangambil tempat duduk semula, satu keluhan dilepaskan.
“Adriuz secretary. Poorah, apa dia ingat cun sangatlah tu,” Amy meniru balik cara percakapan Juliana tadi. Sofea Adrea dan Suzi hanya ketawa kecil melihat gelagat Amy itu.
“Are you ok Adrea?” tanya Suzi prihatin. Sofea Adrea tersenyum manis. Dia tahu apa yang sedang Suzi fikirkan sekarang. Amy memandang Sofea Adrea dan Suzi silih berganti, tak faham apa yang sedang mereka berdua bualkan ni.
“Nak pergi mana lepas ni?” tanya Amy bila dirasakan sudah agak lama juga mereka berada di sini.
“Baliklah, Kak Rea nak masak pula,” beritahu Sofea Adrea dalam senyum. Amy mengerutkan dahi, memandang Suzi minta kepastian.
“Masak? Kan pembantu rumah ada, biarlah diaorang yang buat,” laju sahaja Amy membalas. Sofea Adrea menggelengkan kepala, tak semena-mena bibirnya tersenyum. Perangai adik dan abang sama saja.
“Adriuz dia kan nak balik makan, jadi kenalah masak,” balas Suzi bagi pihak Sofea Adrea. Amy hanya menganggukkan kepala. Apa-apa jelah.
============
Tangan mereka bergenggaman. Sofea Adrea dan Syed Adriuz perlahan-lahan menuruni anak tangga dan menuju ke meja makan. Petang tadi, mereka berdua baru sahaja sampai ke rumah mama dan papa. Amy juga turut sama pulang. Suzi sudah kembali semula ke rumahnya sebab esok sudah mula kerja.
Nampaknya mama dan papa masih belum turun. Pembantu rumah sedang sibuk menyiapkan meja untuk makan malam. Sofea Adrea cuba menarik tangannya, namun makin erat pula Syed Adriuz mengenggam. Masing-masing membalas pandangan, geram pula Sofea Adrea dibuatnya.
“Adrea nak pergi dapur sekejap,” jelas Sofea Adrea tentang niatnya. Syed Adriuz hanya mengangkat kening, genggaman tangan makin erat.
“Abang,” pintanya manja supaya Syed Adriuz mengerti. Tapi hampa, Syed Adriuz tetap dengan kedegilannya.
“Biar pembantu rumah je yang buat. Hari ini sayang tak payah buat apa-apa,”beritahu Syed Adriuz seakan memujuk. Sofea Adrea menarik nafas. Faham benarlah kalau suaminya dah cakap macam tu. Jawabnya memang tak nak lepaslah ni selagi mama dengan papa tak turun lagi.
“Adriuz, Adrea dah lama turun ke?” muncul papa menuruni anak tangga mengampiri anak dan menantunya di ruang rehat. Syed Adriuz tersenyum lebar menyambut papanya.
“Tak adalah, baru je turun,” jawab Syed Adriuz. Sofea Adrea sekali lagi cuba menarik tangannya dari genggaman Syed Adriuz, tapi hampa. Mukanya dah terasa panas menahan malu bila papa dah pandang sambil tersenyum-senyum. Syed Adriuz sebenarnya tahu tapi boleh pula buat tak tahu sahaja.
“Adrea dah biasa dengan rumah ni?” tanya papa lembut memandang Sofea Adrea. Menantunya itu hanya mengangguk dengan senyuman manis.
“Alhamdulilah papa, lama-lama nanti biasalah,”balas Sofea Adrea. Papa hanya menganggukkan kepalanya.
“Marilah makan, tunggu mama kamu tu lama pula nak bersiap. Padahalnya nak makan dekat rumah je,”
Sofea Adrea nak tergelak mendengar bicara papa itu. Orang perempuan kalau dah bersiap, memang lama. Dah memang lumrah, nak buat macamana lagi.
“Kamu Adrea jangan ikut pula perangai mama kamu tu, karang bertambah pula geng dia,” sempat lagi papa menyakat. Makin nak tergelak pula rasanya tapi ditahan saja.
“Amboi ling, sedapnya mengenakan kita. Anja bersiap ni untuk ling juga tau, bukannya untuk orang lain,” muncul mama melangkah menghampiri kami yang sudah berlalu ke meja makan. Sofea Adrea dan Syed Adriuz saling berpandangan. Amboi, manjanya mama dengan papa ni.
“Yalah anja, ling faham. Anja tu lama sangat bersiap, perut ling ni dah nak masuk angin,” lagaknya macam orang muda-mudi gitu.
“Mama, papa, sudah-sudahlah tu. Nak romantik pun nantilah, kesian pula dekat pasangan baru kita ni,” celah Amy yang baru menapak. Mama dengan papa hanya tersengeh, Sofea Adrea sudah tahan malu dengan kata-kata adik iparnya itu.
Lepas baca doa, semua menjamu selera dengan tertibnya. Sofea Adrea masih setia di sisi suaminya.
“Hmm... Adriuz dengan Adrea dah decide ke nak honeymoon dekat mana?” tanya mama sambil pandang anak dan menantunya. Sofea Adrea angkat muka memandang suaminya. Dia tak tahu, dia hanya mengikut keputusan Syed Adriuz.
“Tak sure lagi la mama. Buat masa ni projek banyak baru masuk, tak tahulah bila boleh free,” balas Syed Adriuz tenang. Sofea Adrea tak tahu nak cakap apa. Hatinya tiba-tiba berasa sayu, namun cepat sahaja otaknya memikirkan benda yang baik-baik.
Mama seperti dapat mengagak perubahan diwajah menantunya. Dia tahu Sofea Adrea pasti terasa hati dengan jawapan yang diberikan Syed Adriuz tadi.
“Ya Allah budak ni. Baru kahwin pun sibuk lagi dekat kerja dia tu. Masa ini lah ambil peluang nak cuti, habiskan masa bersama-sama. Tengoklah ling, anak awak ni,” sengaja mama bersuara lantang. Sofea Adrea yang seperti baru tersedar mengangkat muka memandang mama yang juga sedang memandangnya. Satu senyuman dihulurkan, mama hanya mengangguk perlahan.
“Anak awak juga kan,” balas papa perlahan, tapi semua boleh dengar lantas mengundang tawa.
“Yalah abang ni, ambillah cuti. Biarkan je kerja tu sekejap, bukannya dah tak ada orang lain yang nak tolong buat. Apa gunanya ada secretary kalau tak boleh nak tolong arrange kan benda-benda kecil macam ni,” akhirnya Amy bersuara. Sengaja perkataan secretary itu ditekankan.
Kalau orang lain memang tak perasan, tapi terang-terangan Sofea Adrea perasan akan hal itu. Sempat lagi mereka berbalas senyum.
“Tengoklah dulu macamana,” balas Syed Adriuz seakan-akan sedang berfikir.
“Tak payah nak tengok-tengok lagilah. Kira jadi saja. Hmm... Adrea nak pergi mana?” tanya mama lembut mematikan lamunan Sofea Adrea.
“Mana-mana jelah. Adrea ikut abang je,” jawab Sofea Adrea dalam senyuman. Mama dan papa menganggukkan kepalanya tanda mengerti.
“Adriuz, no excuse anymore,” ugut mama tegas.
===========
Bunyi deruan ombak menyapa gegendang telinga Sofea Adrea. Matanya dipejamkan seketika, menikmati angin laut yang nyaman. Tiba-tiba dirasakan bibir seseorang melekap sekejap pada pipi kirinya. Terus sahaja matanya terbuka luas. Bila melihat gerangan siapa, senyuman manis terukir dibibirnya. Syed Adriuz hanya tersenyum lebar memandang wajah isterinya yang nampak terkejut tadi. Punggungnya dilabuhkan disebelah isterinya. Tanpa disuruh, Syed Adriuz terus membaringkan tubuhnya diatas pasir pantai ini, berbantalkan paha isterinya. Sofea Adrea hanya mampu tersenyum bahagia. Tangan kanannya sempat lagi bermain-main dengan anak rambut Syed Adriuz.
“Abang,” panggilnya lembut, berbisik di telinga Syed Adriuz yang sedang memejamkan mata sambil menikmati angin petang ini.
“Hmm..” hanya itu yang dibalasnya. Mata Syed Adriuz masih lagi terpejam.
“Adrea tanya sesuatu boleh?” teragak-agak sahaja Sofea Adrea bersuara. Kali ini Syed Adriuz tak bersuara, hanya kepalanya yang mengangguk.
Sofea Adrea memandang laut yang jelas terbentang. Dia menarik nafas untuk mencari kekuatan.
“Abang rasa perkenalan kita selama ini cukup ke untuk kita mengenali antara satu sama lain?” perlahan sahaja Sofea Adrea berkata, gayanya macam bercakap dengan diri sendiri.
Terus mata Syed Adriuz terbuka memandang wajah isterinya. Kaget Sofea Adrea, tapi cepat sahaja dia kembali tenang.
“ Apa maksud sayang ni?” dingin sahaja pertanyaan Syed Adriuz. Sofea Adrea jadi serba salah, tapi dia harus yakin dengan dirinya. Bukan dia mencurigai suaminya, cuma dia perlukan jawapan yang pasti untuk soalan yang sentiasa bermain dalam fikirannya.
“Adrea tak maksudkan apa-apa. Adrea cuma tak pasti betul ke Adrea dah betul-betul mengenali abang, dah betul-betul memahami kehidupan abang. Adrea rasa macam Adrea masih tak tahu apa-apa tentang abang,” ucapnya jujur. Entah kenapa, hatinya mula dipaut rasa sayu.
Tangannya digenggam Syed Adriuz, erat. Syed Adriuz bangun menghadap Sofea Adrea. Wajah isterinya dipandang penuh kasih, mata mereka bertaut.
“Sekarang sayang milik abang, dan abang milik sayang. Tak ada sesiapa pun yang boleh menghalang sayang untuk terus mengenali abang, begitu juga abang. Kalau sayang rasa sayang belum kenal abang sepenuhnya, kenapa tak tanya je depan-depan,” bicara Syed Adriuz tenang. Sofea Adrea sudah menitiskan air mata, laju sahaja tangannya menyeka. Tangan Syed Adriuz dicium lama.
“Adrea minta maaf abang, Adrea tak maksudkan apa-apa, Adrea cuma keliru dengan perasaan Adrea sekarang,” luah Sofea Adrea dalam tangis. Satu ciuman dihadiahkan pada ubun-ubunnya.
“Kalau ada apa-apa, sayang jangan pendam seorang diri. Nanti abang tak naklah jadi apa-apa,” pesan Syed Adriuz lembut. Sofea Adrea hanya mengangguk perlahan.
=============
“Abang nak pergi mana ni?” tanya Sofea Adrea bila melihat suaminya sudah bersiap-siap untuk keluar. Beg laptop dan beberapa fail turut sama dibawa.
“Hmm..abang nak keluar sekejap, ada hal sikit. Sayang tidurlah dulu, kalau ada apa-apa call abang cepat,” sempat lagi Syed Adriuz berpesan.
Sofea Adrea tak tahu nak cakap apa, hanya ciuman yang Syed Adriuz hadiahkan sebelum menghilang di sebalik pintu. Tubuhnya dibaringkan di atas katil empuk itu. Matanya ralik memandang syiling bilik, langsung tak mengantuk. Jam tangan di atas meja sisi dicapai. Baru masuk pukul sembilan lebih. Untuk seketika dia hanya termenung sendiri, mata langsung tak boleh nak pejam. Lama berfikir, Sofea Adrea mengambil keputusan untuk keluar makan angin di pantai sekejap. Sweater terus disarungkan lalu melangkah keluar dengan kunci ditangan.
Pantai di malam hari memang gelap, tak nampak apa-apa. Angin juga semakin dingin saja. Perlahan-lahan kakinya menguis-nguis pasir pantai ini. Ada baiknya melayan perasaan di sini daripada di dalam bilik. Tak adalah pusing kiri dinding, pusing kanan pun dinding. Sofea Adrea tersenyum sendiri. Sweater yang dipakai ditarik supaya menutupi seluruh tubuhnya, sejuk betul malam ni.
Entah sudah berapa lama Sofea Adrea duduk termenung seorang diri melayan perasaan. Nak balik bilik pun tak ada apa nak buat. Syed Adriuz juga belum tentu sudah balik ke bilik. Syed Adriuz kalau dah ada kerja depan mata, semua benda boleh lupa. Agaknya nak balik bilik pun dia lupa kut...hehehe.
Mulutnya menguap, lantas sahaja tangan menekupnya. Matanya sudah berair kerana sudah berapa kali menguap. Mengantuk pula rasanya. Langkah kakinya diatur untuk pulang ke bilik. Sedang melalui ruang lobi, Sofea Adrea mematikan langkahnya. Syed Adriuz yang sedang duduk di satu sudut dipandang lama. Sebelah tangan sedang memegang telefon, sebelah tangan lagi sedang menulis dan membelek-belek fail di atas meja. Sofea Adrea hanya tersenyum tawar. Dia nak cuba membantu tapi dia langsung tak tahu apa-apa tentang bisnes. Kalau kehadirannya hanyalah sebagai pengganggu, ada baiknya dia tak payah ada terus. Kakinya terus melangkah, niatnya hanya nak tidur sahaja sekarang ni.
Pintu bilik yang dibuka menganggu lena Sofea Adrea. Matanya berkelip-kelip cuba memandang kearah pintu. Sofea Adrea melihat kelibat suaminya masuk perlahan-lahan. Jam di sisi meja dipandang, sudah hampir pukul 4 pagi.
“Abang baru balik ke?” tanyanya perlahan. Syed Adriuz kelihatan kaget melihat isterinya sudah tersedar. Syed Adriuz tersenyum sendiri, beg yang dibawanya diletakkan di atas kerusi. Isterinya yang sudah duduk dihampirinya.
“Sorry abang ganggu sayang tidur,” lembut sahaja Syed Adriuz membalas. Sofea Adrea yang seperti separuh sedar itu hanya mengangguk-ngangguk. Satu ciuman dihadiahkan dipipi Sofea Adrea. Terus sahaja mata yang mengantuk itu jadi segar bugar. Syed Adriuz ketawa sendiri melihat wajah isterinya ketika ini, comel saja.
“Abang call tadi kenapa tak angkat? tidur mati ke?” sengaja Syed Adriuz menyakat. Dalam pukul sepuluh lebih tadi dia ada telefon, tapi tak berjawab. Dia sangkakan isterinya sudah terlena.
“Bila? tadi Adrea keluar sekejap, lupa nak bawa handphone. Hmm... kerja abang dah siap?”lembut sahaja Sofea Adrea bertanya. Syed Adriuz memandang wajah isterinya, tangan Sofea Adrea diraih lantas dicium.
“Abang minta maaf dekat sayang. Sepatutnya abang temankan sayang, tapi ni tidak pula. Sayang terpaksa duduk sorang-sorang,” kesal Syed Adriuz. Sofea Adrea hanya tersenyum nipis. Wajah suaminya diusap lembut.
“Tak apa, Adrea faham. Adrea pun tak tahu nak buat apa sebenarnya, nak tolong abang pun Adrea tak mampu. Adrea hanya boleh tengok abang dari jauh, dan Adrea nak abang tahu yang Adrea sentiasa percayakan abang,” luah Sofea Adrea. Perlahan air matanya menitis. Syed Adriuz menyapu pipi isterinya.
“Dah cukup kalau sayang sentiasa ada di sisi abang, abang tak perlukan benda lain,”
Sekali lagi Sofea Adrea menitiskan air mata. Terus sahaja Syed Adriuz memeluknya erat. Rambut isterinya dibelai lembut.
“Adrea takut bang, Adrea takut kalau apa yang terjadi pada Suzi jadi pada hubungan kita. Adrea tak sanggup berpisah dengan abang,” akhirnya terluah juga apa yang dipendam dalam sendunya itu.
Syed Adriuz melepaskan pelukan, wajah isterinya yang basah dipandang lama.
“Abang janji pada sayang, abang tak akan pernah tinggalkan sayang. Biar apapun yang terjadi, abang tetap akan pertahankan hubungan kita ni. Mungkin itu kesilapan abang sebab pentingkan kerja dari sayang, tapi sayang tetap ada dalam hati abang,”ucap Syed Adriuz jujur.
Sofea Adrea memandang suaminya. Syed Adriuz mencium dahi isterinya, kemudian jatuh kepipi kanan, kemudian pipi kiri dan akhirnya pada bibir basah itu. Sofea Adrea dan Syed Adriuz memandang antara satu sama lain, berkata-kata melalui mata. Akhirnya Sofea Adrea hanya mengangguk memberi isyarat pada lelaki yang bergelar suaminya.
“Abang, Adrea tanya sesuatu boleh?” tanyanya lembut. Syed Adriuz hanya menganggukkan kepalanya. Sofea Adrea sudah bersedia untuk menduga suaminya ini.
“Antara Adrea dengan kerja abang, yang mana abang pilih dulu,”sengaja Sofea Adrea meneka. Wajah suaminya dipandang minta kepastian.
“Tentulah sayang,” laju sahaja Syed Adriuz menjawab, membuatkan Sofea Adrea tersenyum nipis.
“Hmm...katakanlah kalau Juliana tu sukakan abang, abang sukakan dia juga ke? yalah, diakan sentiasa ada dengan abang, orang kuatlah katakan,” ada nada cemburu dalam kata-katanya. Syed Adriuz mencuit hidung isterinya, lalu tersenyum manis.
“Sayang juga yang sentiasa ada di hati abang,” balas Syed Adriuz romantis.
“Ok, katakanlah Adrea tengah sarat mengandung dan nak bersalin, kebetulan masa tu abang tengah mesyuarat tentang projek baru, client pun ada sekali. Mana abang akan buat, lari tinggalkan mesyuarat dan dapatkan Adrea atau abang akan tunggu sampai mesyuarat tu habis dulu baru abang datang,” makin berani pula Sofea Adrea menyoal.
Syed Adriuz kelihatan sedang berfikir. Sofea Adrea mengerutkan dahi. Amboi, soalan pertama dan kedua tadi bukan main laju jawab, yang last ni pula bukan main lama berfikir, macam nak jawab soalan SPM pula.
“Abang, lamanya fikir,” respon Sofea Adrea. Geram dengan lagaknya suaminya itu.
“Kejaplah sayang, abang tengah fikir ni,” balas Syed Adriuz ngada-ngada. Lepas seminit, jawapan masih belum diterima.
“Malaslah abang ni, baik Adrea tidur,”rajuk Sofea Adrea. Badannya memusing membelakangi suaminya. Selimut ditarik menutupi seluruh tubuh. Syed Adriuz sudah tersenyum sendiri, memang dia sengaja nak melambatkan isterinya.
Perlahan Syed Adriuz memeluk pinggang Sofea Adrea dari belakang. Selimut yang menutupi wajah isterinya di tarik sedikit. Mulutnya didekatkan pada telinga Sofea Adrea.
“Abang akan dapatkan sayang biar apapun yang terjadi sebab sayang adalah keutamaan abang,” bisik Syed Adriuz lembut. Sofea Adrea yang tidak tidur memalingkan semula mukanya. Wajah Syed Adriuz dipandang penuh kasih.
“Terima kasih abang,”lembut sahaja suaranya berbicara. Syed Adriuz terus menariknya di dalam pelukan.
Ya Allah, terima kasih kerana Kau kuatkan hati hambaMu ini, Kau berilah kebahagian ini sentiasa berkekalan kerana KU PERCAYA ADA CINTA.
SEKIAN, TERIMA KASIH ^___^
5 comments:
apa jd pd Juliana penyibuk tu??
dia sukakan Syed Adriuz tp x berbls sampai akhirnya ^__^
bestlah. suka sgt dgn cerpen akak. =)
suka baca.. tahniah ikah.. =)
Iman Kyuhee :: thanks Iman ^^
Afifah :: Terima kasih ipah.. hehehe
Post a Comment